Monday, March 16, 2009

Petunjuk Sunnah Ketika Menguap & Bersin

Sedarkah kita selama ini di dalam kita menguap dan bersin, sebenarnya di sana Islam telah ada suatu garis petunjuk yang perlu kita ambil tahu mengenainya?

Berkenaan dengan menguap, Rasulullah S.A.W memberitahukan kepada kita bahawa ia adalah dari Syaitan. Maka, apabila kita menguap atau terasa hendak menguap, maka hendaklah kita menahannya atau jika tidak mampu menahannya, hendaklah kita menutupnya (menutup mulut ketika menguap). Bukan sahaja sekadar menutup dan menahan diri dari menguap (dengan sedaya upaya), tetapi hendaklah juga kita mengelak dari mengeluarkan bunyi ketika menguap. Kerana apabila seseorang itu menguap sambil mengeluarkan bunyi, maka Syaitan akan ketawa.

Dari Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda (maksudnya),

"Jika seseorang dari kalian menguap, maka tutuplah mulut dengan tangannya kerana sesungguhnya syaitan masuk (ke dalam mulut yang terbuka)." (Hadis Riwayat Muslim, Kitab az-Zuhud, hadis no. 7129)

Juga dari Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda (maksudnya),

"Menguap adalah dari Syaitan. Maka apabila seseorang dari kalian menguap, tahanlah (dari menguap) dengan sedaya upaya mungkin kerana sesungguhnya apabila seseorang itu menguap sambil berbunyi "Haaa" maka Syaitan akan mentertawakannya. " (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Permulaan Penciptaan, hadis no. 509)

Manakala berkenaan dengan bersin pula, ia adalah suatu yang disukai oleh Allah, yang mana berbeza dengan perbuatan menguap tadi yang ianya adalah dibenci oleh Allah. Apabila seseorang itu bersin, maka dengan itu hendaklah dia memanjatkan pujian kepada Allah, dan kepada saudaranya yang mendengar saudaranya yang bersin itu, maka hendaklah dia mendoakannya.

Dari Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda,

"Sesungguhnya Allah menyukai bersin, dan membenci tindakan menguap. Maka apabila seseorang itu bersin, maka pujilah Allah (dengan mengucapkan "الْحَمْدُ لِلَّهِ"). Manakala bagi setiap Muslim yang mendengar saudaranya bersin adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mendoakannya (mendoakan saudaranya yang bersin) iaitu dengan menyebut "يَرْحَمُكَ اللهُ" (semoga Allah memberi rahmat kepadanya). Manakala menguap, ia adalah dari Syaitan. Maka apabila seseorang dari kalian menguap, tahanlah ia dengan sedaya upaya mungkin kerana sesungguhnya apabila seseorang itu menguap sambil berbunyi "Haaa" maka Syaitan akan mentertawakannya. " (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Adab, hadis no. 242)

Di dalam riwayat yang lain, juga dari Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda (maksudnya),

"Jika seseorang itu bersin, maka hendaklah ia memanjatkan pujian kepada Allah (dengan mengucapkan "الْحَمْدُ لِلَّهِ"). Manakala bagi setiap Muslim yang mendengar saudaranya bersin adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mendoakannya (mendoakan saudaranya yang bersin) iaitu dengan menyebut "يَرْحَمُكَ اللهُ" (semoga Allah memberi rahmat kepadanya). Dan jika orang yang bersin mendengar saudaranya menyebutkan "يَرْحَمُكَ اللهُ", maka hendaklah dia mengucapkan "يَهْدِيْكُمُ اللهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ" (Semoga Allah memberi petunjuk kepadamu dan memperbaiki keadaanmu)." (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Adab, hadis no. 243)

Dalam hadis yang lain, dinyatakan bahawa orang yang bersin yang mendengar saudaranya mendoakannya, maka dia boleh juga mengucapkan (selain di atas),


يَغْفِرُاللهُ لَنَا وَلَكُمْ


"Semoga Allah mengampuni diri kami dan kamu." (Hadis Riwayat at-Thabrani. Lihat di dalam Shahih al-Jami' oleh Syaikh al-Albani)

Atau, di dalam sebuah atsar dijelaskan, dari Nafi radhiyallahu 'anhu,

"Apabila Ibnu Umar (radhiyallahu 'anhu) bersin dan seseorang mengucapkan:

"يَرْحَمُكَ اللهُ" (semoga Allah memberi rahmat kepadanya), maka dia (Ibnu Umar) mengucapkan:

"يَرْحَمُنَ اللهُ وَ يَغْفِرْ لَنَا وَلَكُمْ" (Semoga Allah memberi rahmat ke atas diri kami dan kamu)". (Hadis Riwayat Imam Malik di dalam Muwaththa', 54/5)

Juga adalah suatu sunnah, apabila seseorang itu bersin, hendaklah dia menutup atau meletakkan tangannya atau bajunya (atau kain yang seumpamanya) kepada mukanya sambil merendahkan mukanya dan memperlahankan suaranya.

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu (maksudnya),

"Apabila Rasulullah S.A.W bersin, beliau meletakkan tangannya atau kain bajunya ke mulutnya (untuk menutupnya) sambil memperlahankan suaranya (bunyi bersin)." (Hadis Riwayat Abu Daud, Kitab al-Adab, hadis no. 5011. Lihat juga di dalam Shahih Sunan Abi Daud oleh Syaikh al-Albani)

No comments: